Advertisement
-
Pornutopia
(Tersiar dalam Dewan Sastera April 2005)
(1)
“Suami saya keluar bekerja jam 5 pagi. Selalunya, saya akan bangun sama dan rasa begitu sunyi, tak banyak yang boleh dibuat kerana suami tidak makan di rumah. Nasib baik juga rumah kami ada PC. Saya pun segera berjinak-jinak untuk menghabis masa secara online!”
Sumitra merasa agak malu mulanya. Tetapi dengan nama samaran ‘Sumi’ dan alamat emel yahoo, tidak mungkin orang tahu identiti dia yang sebenarnya. Dia mahu bercerita untuk berkongsi pengalaman kisah benar dalam e-grup yang baru disertainya.
E-grup yang bertema ‘dari wanita untuk wanita penghuni USJ’. Mereka sedang berdiskusi mengenai perisian penapis Internet. Yang dimulai oleh seorang wanita memakai nama samaran Misha. Agak ramai juga ahli yang aktif menghantar maklumat dan berkongsi pengalaman. Inbox sentiasa penuh dengan kiriman emel e-grup selain spam.
“Saya sudah puas melayar pelbagai laman web dan mahu tahu apa yang menjadikan laman web porno begitu popular. Itupun setelah suami saya turut mengaku dia juga suka melayari laman web porno! Tetapi ketagihnya hanya kalau ada PC depan mata, kalau tak ada, tak mengapa. Nasib baik dia banyak keluar sebagai agen insuran!”
Sumitra meneguk air teh ais sambil mencari perkataan untuk menyambung emelnya. Menjenguk melihat anak kecilnya yang tidur dalam buaian.
“Pada waktu itu rumahtangga kami ada sedikit masalah. Saya mahu bekerja tetapi suami saya tidak bersetuju kerana anak masih kecil dan dia tidak mahu orang lain menjaganya. Saya merasa kecewa dan mula menganggap dia sebagai musuh, bukan rakan kongsi. Kesilapan saya ialah tidak berdepan, berterus-terang dengan dia untuk mencari penyelesaian, sebaliknya masuk tidur dalam merajuk dan sakit hati, bangun pagi dan terperangkap dalam dunia pornografi online, bergelumang hayalan bersama mereka yang tidak bernama, tanpa wajah, cuba tubuh badan, mereka yang kelihatan tidak mempunyai masalah, sentiasa dengan kepuasan batin dan keseronokan seks!”
Sumitra membaca kembali apa yang sudah ditulis. Bukan sekadar membetulkan tatababahsa, malah ejaan juga. Sebagai lepasan graduan bahasa, dia memang cerewet dengan kesilapan sebegitu walaupun dalam emel dan tiada siapa tahu identiti penulisnya.
“Lama kelamaan, saya sedar yang porno bukan sahaja menyebabkan saya tidak cukup tidur dan pemarah, malah lebih menjauhkan saya dari suami sendiri. Kepuasannya sebentar sahaja dan untuk masa yang lain saya rasa macam orang bodoh! Satu hari, kami berbincang dan bertemu dengan kaunselor perkahwinan. Salah satu pilihan ialah memasang perisian penapis Internet. Mulanya terasa mengganggu setiap melayar siber, tetapi langkah bijak demi menyelamatkan perkahwinan dan anak kecil kami, sekarang kami kembali mesra sebagai suami isteri!”
Sumitra pun klik ‘hantar’ untuk menghantar emelnya. Berdebar menanti apa-apa komen dari ahli e-grup yang lain. Selalunya anti-klimaks kerana diskusi mati begitu sahaja bila tiada yang menyambung.
(2)
Tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Sudah terlambat. Begitupun, Tan tetap menyalahkan isterinya dengan apa yang telah berlaku. Dia memaki hamun dengan pelbagai nama mencerca.
“Dia seorang pemabuk!” Katanya kepada Zuhri. Mereka bertemu di penjara.
Nampak wajah Tan masih sugul. Cermin matanya pun berkabus.
“Kau tahu, sejak empat tahun lalu, isteri aku dulu sentiasa balik lewat dan dalam keadaan mabuk, terus tidur di sofa. Aku yang terkial-kial keseorangan tak tahu apa nak buat. Tidak banyak pilihan, nak keluar aku malas sebab letih, aku mula melayar Internet. Meneroka online. Mulanya sekadar ikut perasaan mahu tahu dan buang masa, tetapi lama-lama ketagih chat dengan para pelayar laman dewasa!”
Zuhri mendengar anak guam dengan tekun. Dia kenal Tan dan isterinya Gina sejak dari seuniversiti. Sama-sama aktif dalam persatuan pelajar. Mereka tidak mempunyai anak kerana Gina tidak mahukan kerjayanya sebagai pengurus pengiklanan sebuah syarikat multi-nasional terganggu. Juga tidak mahu badan rampingnya jadi tembam.
Tan pula mahukan anak, paling kurang seorang untuk menyambung nama keluarganya. Perselisihan yang membuatkan rumahtangga mereka sekadar sebuah hotel. Hidup sekali tetapi tidur berlainan.
“Aku tak pernah menghantar gambar lucah atau bogel, hanya chat dan menyertai pelbagai e-grup dewasa yang ada. Terima emel, buka gambar dan padamkan!”
Suara Tan agak terketar-ketar. Masih marah. Dengan isterinya dan dirinya sendiri.
“Jadi kau tak perasaan yang ‘padamkan ’ tidak bermakna semuanya akan padam dari memori komputer? Ada yang tertinggal dalam tong sampah dan boleh dibuka semula?”
Tan mengangguk lemah. Dia tidak menyangka ketagihan online menyebabkan dia kini menjadi seorang yang tertuduh sebagai pesalah seks. Memalukan sekali.
Diluar kesedaran dan kewarasannya, nama penggunanya telah dijejak oleh pihak polis yang menyiasat kegiatan pornografi kanak-kanak di Internet. Dari jejakan IP melalui pengendali servis Internet tempatan, Polis menggelidah rumahnya dan merampas PC yang mengandungi ribuan jpeg pornografi kanak-kanak yang tidak dipadamkan.
“Nampaknya semua bukti begitu kuat untuk kau sabit kesalahan!”
Tan tahu bukan sahaja namanya akan hitam, malah seluruh kerjayanya sebagai pengurus sumber tenaga manusia juga akan musnah. Dalam kesalan, dia terus menyumpah-nyumpah Gina yang menjadi punca dan tidak pula sudi untuk melawatnya di penjara. Dia sepatutnya berpisah sahaja sejak lima tahun lalu.
“Sebenarnya apa yang kau telah buat ialah memasang perisian penapis Internet...!” Zuhri cuba bergurau. Tentunya tidak lucu buat Tan sewaktu bangkit untuk dibawa ke mahkamah.
(3)
Adenan memang pakar dalam banyak hal berkaitan komputer. Sedikit geek dari segi penampilan. Sejak lama, menjadi sumber rujukan berkaitan IT kawan-kawan rapat. Dia adalah pengusaha sebuah syarikat pembanguan perisian yang sudah berkembang sejak empat tahun lalu. Mahu menyenaraikan syarikatnya di Mesdaq.
“Apa yang kau berminat sangat dengan industri pornografi ni? Apa sudah kemaruk nak kahwin lain ke?” Tanyanya sinis dalam menjawab SMS Zuhri. Dia malas betul melayan Zuhri yang kedekut dalam membelanja makan. Hanya menghubungi kawan kalau mahu maklumat, itupun secara percuma. Jarang sekali bertanya kabar. Memang perangai yang tidak berubah sejak sekolah. Mementingkan diri sahaja.
“Kalau nak tahu maklumat lain, belanja aku makan ikan bakar belakang Istana Negara!” Sambungnya dalam SMS. Cuba menguji Zuhri.
Mereka bertemu esoknya.
“Kau tahu, industri porno online di Amerika sahaja bernilai RM30 billion. Lebih ramai yang menjadi jutawan dengan menjadi pengusaha laman web porno dari pengusaha perisian macam aku........memang seks sentiasa laku, dalam dan luar ruang siber!”
Suara Adenan agak kuat dalam gamat pelanggan menikmati juadah ikan bakar. Beberapa pelanggan perempuan yang duduk bersebelahan berpandangan. Menggeleng-geleng. Seakan tidak percaya ada juga orang yang boleh bercakap soal seks dan porno waktu makan.
“Lebih melucukan, siber menaikkan taraf dan lanskap porno ke tahap yang sedikit dihormati, malah jadi cool pulak. Porno tidak lagi terhad di studio jalan belakang lembah San Fernando dan daerah lampu merah metropolitan atau Chow Kit, malah sudah jadi industri do-it-yourself yang muncul macam cendawan di seluruh planet!”
Zuhri mengangguk-angguk. Ikan kembung bakar yang dijamahnya dengan lauk kari memang sedap. Apa lagi dengan petai dan sambal belacan. Berselera sekali.
“Semua orang tahu, orang paling banyak buat untung sejak Internet menjadi wadah baru bisnes ialah pengusaha laman web porno berbayar. Lebih untung dari Amazon, Google. Lagipun dalam siber, tak perlu bimbang dengan samseng atau mafia mintak wang perlindungan, walau ketat sekali undang-undang, sukar untuk mengesan kegiatan jenayah dalam siber!”
Adenan sempat menjeling seorang perempuan Melayu yang berpakaian seksi dan duduk berhampiran. Dikelilingi beberapa lelaki lembut. Berbual tentang Akademi Fantasia.
“Jadi kau ni nak buka laman web porno sendiri ke?” Tanya Adenan sambil ketawa. “Ada ramai calun pelakun utama dan sampingannya kat sini...!”
(4)
Misha telah mengambil keputusan muktamad. Tidak boleh ditunggu lagi. Pagi Sabtu itu selepas sarapan, paling baik untuk berdepan dengan Zuhri.
“Kita mesti memasang Perisian penapis Internet!”
“Ya, abang setuju, Tak mahu anak-anak terjebak dengan porno online!” Jawab Zuhri sambil menghisap rokok. Selamba menghembus asap dengan mata ke arah layar TV.
Misha terdiam. Memandang jauh ke sekitar taman perumahan USJ4. Kedengaran suara anak-anak bermain dan bunyi kenderaan lalu lalang.
“Sebenarnya,” Misha menarik nafas, bukan mudah untuk melepaskan apa yang terpendam, “Misha lebih bimbang terhadap abang...!”
Zuhri terkejut. Merenung wajah isterinya, seorang guru sains rumahtangga. Masih dalam pantang. Anak bongsu baru berusia sebulan. Sedang lena tidur selepas menyusu.
“Misha ada melihat dalam arkib browser PC kita. Banyak tapak laman web porno......terutama sejak Misha bersalin sebulan lalu.....!”
Zuhri tidak dapat mengelakkan diri lagi. Bagai satu pukulan kuat menghempap. Mencapai sebatang lagi rokok.
“Ini bukan setakat baru-baru ini, Misha tahu dah lama, cuma nampaknya ketagihan abang begitu terlampau-lampau kebelakangan......Misha faham kenapa dalam keadaan Misha berpantang, cuma bimbang anak-anak kita tu tersalah melayar Internet dan masuk semua laman web porno yang abang kunjungi!”
Suara Misha agak gementar. Kesemua anak mereka adalah perempuan. Tidak dapat dibayangkan seorang ayah yang berusia 38 tahun, mempunyai tiga anak perempuan boleh melihat kepada perempuan lain sedemikian. Begitu kotor dan hina.
Misha sebenarnya terasa lebih tertekan sebagai isteri.
“Apakah ini semua salah Misha?” Misha mula sebak. “Apakah abang tidak dapat lagi menikmati kepuasan batin? Apakah Misha telah gagal berfungsi sebagai isteri selama ini? Apakah abang ingin berkahwin seorang lagi?”
Keadaan sepi seketika. Nampak Zuhri begitu rimas. Berpeluh. Cuba mencari perkataan yang sesuai. Semuanya hilang bersama kepulan asap rokok.
“Apa yang Misha rasa sangat kecewa ialah terasa dikhianati dan dikecewakan. Abang seolah-olah merasakan tidak mengapa untuk meyimpan rahsia dan masalah peribadi. Seakan tidak mengapa untuk abang membohongi Misha dengan tabiat buruk ini! Apakah abang tidak merasa berdosa menjadi penagih pornografi bila anak-anak kita semuanya perempuan?”
Misha terus sahaja menangis.
Terkial-kial Zuhri sambil menggaru kepala yang tidak gatal tetapi sudah kurang rambutnya. Tidak sangka tiba-tiba menerima ledakan bom jangka yang meletup sebelum waktunya. Tak semena-mena dia pula di kandang orang salah, sebagai yang tertuduh.
“Kalau masalah ini kerana Misha, Misha rela kalau abang nak kahwin lagi.....!”
0 comments: