Advertisement

  • Konspirasi Teh Tarek

    Spring Equinox, hari yang sepatutnya menjadi antara hari paling panas disekitar khatulistiwa, tiba-tiba menjadi basah. Hujan turun dari pagi. Cuaca musim bunga yang agak panas di Dubai juga menjadi lebih sejuk. Suhu turun bawah 25°. Dengan angin dari teluk Arab agak kencang. Mengegarkan pokok-pokok kurma pasang siap yang ‘tumbuh’ tiba-tiba begitu banyak sepanjang lebuhraya.
    Dari radio, DJ menghebahkan lapuran kemalangan jalanraya di sekitar Dubai dan Abu Dhabi. Purata kemalangan di Dubai tahun 2004 ialah satu setiap 3 minit atau 5000 sehari. Statistik yang begitu menakutkan. Satu fenomena di kebanyakan negara sedang membangun. Lebih ramai mati di jalanraya dari perang dan serangan teroris.
    Memang hujan sering membawa lebih banyak kemalangan kerana jalan-jalan yang tidak berlongkang dan berparit menjadikan air bertakung di mana-mana. Para pemandu yang tidak biasa dengan keadaan basah sebegini akan lebih mudah membuat kesilapan. Apalagi dengan kenderaan yang berenjin kuasa tinggi begitu banyak memenuhi jalanraya dan dipandu oleh ramai “Schumacher’ berserban dan berjubah.
    Tidak mudah untuk mendapat lesen memandu di UAE. Kecuali buat mereka yang datang dari Amerika, negara Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand dan Singapura. Boleh terus sahaja menukarkan lesen memandu negara mereka ke lesen memandu tempatan.
    Buat yang lain, akan terpaksa mengambil ujian memandu. Ada yang sampai berbelas kali. Sebab itu ramai yang menjadi pemandu gila sebaik mendapat lesen memandu. Lebih senang buat ijazah pertama dari menduduki ujian lesen memandu buat mereka yang datang dari benua kecil Asia Selatan seperti India dan Pakistan. Yang kebetulan ekspatriat majoriti di kawasan Teluk Arab.
    Sebaik Abdul Qadeer Fazil sampai di pejabat di Mina Seyahi, seperti biasa hanya Mujeeb yang sudah tiba. Bertambah lewat buat mereka yang lain yang selalunya lewat disebabkan terperangkap dalam kesesakan jalanraya. Mujeeb yang sentiasa sampai pagi-pagi lagi dalam keadaan apa pun. Tetapi hari Spring Equinox itu Mujeeb tidak ceria.
    “Sudah tiga kali gagal!” Mujeeb bercerita sebaik meletakkan teh tarek diatas meja Abdul Qadeer Fazel. Bahasa Inggerisnya loghat India. Dengan kepala menggeleng-geleng.
    Sambil menghirup teh tarek, Abdul Qadeer tersenyum. Mujeeb budak pelayan pejabat dari Kerala itu memang agak rapat dengannya. Abdul Qadeer mengajar Mujeeb untuk membuat teh tarek sejak hari pertama dia bekerja di sebuah syarikat pembangunan hartanah Dubai. Teh tarek Mujeeb cukup sedap. Sering mengingatkan Abdul Qadeer tentang sebuah warung teh tarek di Bricksfield. Tentang kesibukan pagi di Kuala Lumpur.
    “Apa pulak sebabnya kali ini?”
    “Itu polis cakap, saya tidak lambat beri lampu isyarat sebelum pusing!”
    “Kenapa lambat?”
    “Panik....ingat itu lampu trafik jauh lagi....tak sempat bagi sudah sampai!”
    “Yang lain dalam kereta tu lulus tak?”
    “Semua dari India hari itu tidak lulus!”
    Abdul Qadeer ketawa. Memang menjadi satu mitos dikalangan eksptriat dari India dan Pakistan yang mereka dianaktirikan atau Polis Dubai mahu membuat duit lebih dari mereka. Mereka akan mudah digagalkan walau dengan kesilapan kecil. Setiap ujian memandu dikenakan bayaran. Kalau ratusan ribu yang berulang mengambil ujian, bermakna pendapatan Polis juga semakin banyak.
    Itu cakap-cakap kedai kopi. Cakap-cakap konspirasi dari maklumat yang tidak pernah dibuat kajian akademik. Kini menjadi fakta yang disahihkan oleh eksptariat baru setiap tahun.
    “Kenapa ekspatriat dari Malaysia mudah mendapat lesen kat sini?” Mujeeb bertanya. Bukan pertama kali kepada Abdul Qadeer. Setiap kali gagal dia akan bertanya. Abdul Qadeer merupakan rakyat Malaysia yang pertama di temuinya. Mujeeb memandang tinggi sesiapa yang berasal dari Malaysia.
    “Bapak saudara saya ada di Malaysia, sudah lama tidak balik Kerala. Mungkin sudah kaya raya!” Pernah sekali dia bercerita kepada Abdul Qadeer sebaik meletakkan teh tarek diatas meja.
    Cerita sebegini selalu didengar oleh Abdul Qadeer apabila berkenalan dengan sesiapa dari Kerala. Kalau tidak bapak saudara, mungkin adik beradik, datuk nenek, sahabat dan saudara mara. Malaysia adalah syurga bagi ramai warga India dan Pakistan. Pergi ke Malaysia bererti bakal mengubah kehidupan. Kaya raya. Kalau ada apa saja pertalian meraka akan turut merasa bangga. Bangga kerana ada kena mengena dengan Malaysia walau hanya berbau bacang.
    Abdul Qadeer sebenarnya sering dalam keadaan serba salah. Perwatakan dan namanya menggelirukan. Ramai menyangka dia juga dari India atau Pakistan. Ramai yang bercakap Hindi atau Urdu dengan Abdul Qadeer bila pertama kali bertemu.
    “Maaf, saya dari Malaysia, tidak boleh bercakap Hindi dan Urdu!”
    Berulang kata-kata itu diucapkan. Sesekali, Abdul Qadeer merasa menyesal juga tidak mempelajari bahasa tersebut kerana selalunya para peniaga akan memberi harga yang lebih baik sekiranya berjual beli dalam Hindi atau Urdu.
    Lantas dia belajar sedikit-sedikit dari Mujeeb. Ada sahaja perkataan baru setiap kali Mujeeb meletakkan teh tarek diatas meja. Sekurang-kurang kalau ke souq ikan atau souq kain, dia boleh tawar menawar. Kalau peniaga tahu dia datang dari Malaysia dan bercakap Hindi atau Urdu, lebih mudah mendapat potongan harga.
    Begitulah realiti kehidupan di Dubai. Sebuah negara Arab yang bermajoritikan warga India dan Pakistan. Bahasa Arab tidak lagi menjadi bahasa utama. Walau semua jabatan kerajaan Dubai mewajibkan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, lebih ramai Arab yang berbahasa Hindi atau Urdu. Memudahkan komunikasi. Malah bahasa percakapan Arab seharian sudah bercampur aduk dengan bahasa Hindi dan Urdu.
    Abdul Qadeer sudah empat tahun menetap dan bekerja di Dubai. Bersama isteri dan empat anak-anaknya. Tidak juga begitu rapat dengan ekspatriat dari Malaysia yang lain. Dia terasa agak sensitif apabila ramai orang Melayu, Cina dan India rakyat Malaysia memanggilnya Mamak. Memang dia mempunyai keturunan bercampur, ada darah India, Jawa dan Siam.
    “Betul ke makin ramai orang Malaysia datang bekerja di sini?” Tanya John Howard selepas mesyuarat kemudiannya. John yang berjawatan Jurutera Ukur bahan kanan itu berasal dari Australia dan pernah bekerja di Malaysia. Sama-sama berkongsi teh tarek Mujeeb di pejabat. Kini menjadi rakan baik Abdul Qadeer di dalam dan luar pejabat. Sama-sama juga kaki memancing setiap hujung minggu.
    “Tidak pasti, rasanya masih kurang dari seribu kalau mengikut lapuran akhbar!” Abdul Qadeer mengikuti berita tanahair melalui akhbar online. Berita banyak syarikat pembinaan Malaysia mendapat kontrak di Dubai turut menarik minat John.
    “Wow, sedikitnya! Jauh lebih sedikit dari warga Singapura!” John yang berkahwin dengan seorang wanita Melayu Singapura itu menggeleng-geleng kepala. Dia agak rapat dengan komuniti warga Singapura kerana isterinya agak aktif dengan sukan boling.
    Pada waktu itu Mujeeb masuk ke bilik mesyuarat untuk mengemas meja.
    “Teh Tarek lagi satu?” Tanya Mujeeb dalam bahasa Melayu. Seperti diajar oleh Abdul Qadeer.
    John segera ketawa. Kedua menggeleng-geleng. Suasana sepi seketika.
    “Apa cerita panas hari ini, Mujeeb?” Tanya Abdul Qadeer. “Selain kau gagal lulus lesen kereta kali ketiga?” Seperti biasa juga, Abdul Qadeer dan John akan cuba merisik cerita dan gosip politik pejabat dari Mujeeb. Mujeeb yang bukan sahaja menyediakan minuman untuk setiap jurutera dan eksekutif di pejabat, malah membuat fotokopi, membukukan dokumen, mengemaskan fail itu memang banyak tahu cerita-cerita sensasi dan spekulasi. Selalu juga disuruh setiausaha, wanita Lebanon untuk membuat fotokopi dokumen rahsia untuk bos, seorang warga Britain. Kalau ada rahsia penting, Mujeeb kadang-kadang membuat fotokopi lebih untuk Abdul Qadeer dan John.
    Secara tidak langsung Mujeeb menjadi kaki intip ala James Bond yang paling efektif. Terutama apabila kedatangan ramai ekspatriat baru dari Afrika Selatan yang seakan mafia mahu menguasai perjalanan syarikat. Ramai staf dikalangan warga India berjaya diketepikan. Ekspatriat Afrika Selatan berkulit putih dianggap ‘buruh kulit putih paling murah’ berbanding dari Eropah, Amerika dan ‘down under’.
    Mujeeb menutup pintu bilik mesyuarat. Menarik nafas agak panjang.
    “Ada berita baik dan berita tidak baik!” Abdul Qadeer dan Mujeeb terdiam.
    “OK. Berita baik dulu. Saya akan naik pangkat!” Jawab Mujeeb tersenyum lebar. Menampakkan giginya yang sedikit kekuningan.
    “Tahniah! Tahniah! Sebagai apa?” Tanya John. Mereka bersalaman.
    “Saya akan pindah ke ibu pejabat untuk jaga stor mulai esok!”
    Mujeeb menunjukkan surat yang baru diterimanya.
    “Jadi apa berita tidak baik?”
    Mujeeb terdiam. Menggeleng-geleng kepala sebelum bercakap. Seakan cuba mendapatkan perhatian Abdul Qadeer dan John sepenuhnya. Sudah dua tahun dia kenal kedua peminum teh tarek yang setia. Dua tahun diterima sebagai ahli kumpulan ‘Malaysia’.
    Abdul Qadeer dan John tiba-tiba faham. Bermakna, menjelang musim panas tahun ini, akan berakhir juga dua tahun satu konspirasi yang walau tidak sehebat skandal Enron, banyak memberikan advantej bagi mereka. Sekurang-kurang bila bersaing dengan warga Afrika Selatan.
    Perlahan Mujeeb mengesahkannya. “Saya tidak akan buat teh tarek lagi!”

0 comments:

Leave a Reply

Featured Video

Photos