Advertisement

  • Keropok Linux

    (1) - Ninja
    “Beritahu kami yang sebenarnya, mengapa kamu datang ke sini?”
    Tanya Ahmad lagi. Kali ini lebih tegas suaranya. Tajam memandang Jamilah.
    “Awak yang menawarkan saya kerja......!” Ulang Jamilah yang terasa dipermainkan. Tidak pasti mengapa tiba-tiba dia berada dalam situasi yang tidak menentu dan penuh persoalan. “Bukankah awak yang meminta saya untuk menolong syarikat awak dalam promosi dan pemasaran sempena Ekspo Teknolgi Ketenteraan ini? Awak bagi saya tiket untuk datang ke sini!”
    Ahmad ketawa sinis. Menggeleng-geleng kepala. Membayangkan dia tidak percaya langsung jawaban itu. Ahmad selalunya suka mendengar dirinya bercerita tentang kehebatan dirinya sendiri dan jarang mendengar apa-apa pendapat dari stafnya.
    “Tahukah kamu yang tapak web syarikat kita telah di godam?”
    Jamilah terkejut. Pertanyaan itu satu berita yang mengejutkan. Sebagai seorang yang membangunkan tapak web tersebut, berita itu bagai tikaman yang meragut kredibilitinya.
    “Digodam?”
    “Si penggodam telah meninggalkan mesej yang boleh menjejaskan minat pelabur. Dan kami tahu siapa yang menggodamnya!”
    Ahmad membuat kenyataan yang memerangkap. Jamilah teringat yang Ahmad ada bercerita tentang ejen perisikan antarabangsa seperti CIA dan Mossad cuba menggodam, malah mencuri produk sekuriti barunya. Malah Ahmad mendakwa yang Bill Gates juga mahu membunuhnya kerana bakal menguburkan jenama Microsoft.
    Besar agenda Ahmad, bukan sahaja mahu menumpaskan zionis, malah apa saja jenama global yang datang dari Amerika. Perang siber yang bakal menjatuhkan empayar angkuh itu.
    Tetapi pandangan Ahmad membawa makna berlainan. Jamilah dapat menangkap kata-kata dari mata Ahmad. “Jadi awak tuduh saya yang menggodam?”
    “Hanya kamu yang ada kata laluan!”
    “Eh! Adik awak si Kasim juga ada kata laluan!”
    Ahmad terdiam. Memandang COO, Suriani yang juga isterinya. Suriani tunduk sambil menggenggam tangan. Bilik 25 kaki persegi itu memang terasa sendat dalam keadaan yang panas. Memang tidak dipasang penghawa dingin di musim sejuk. Sekadar membuka tingkap. Angin sejuk dari gurun berselang-seli dengan angin dari laut Arab.
    Jamilah menarik nafas, berfikir dan segera bersuara lagi. Teringat sesuatu.
    “Nanti dulu, bahkan para pelawat juga boleh daftar sebagai ahli dan masuk ke dalam tapak. Saya memasang sistem pengurusan web, download percuma dari Internet.....lagipun sejak hari pertama ekspo, komputer bimbit saya digunakan di gerai pameran, dan saya tak dapat akses ke tapak web!”
    “Jangan berdalih lagi, beritahu saja apa tujuan sebenar kamu datang ke sini. Apa yang kamu mahukan dari kami? Atau apa yang kamu mahu rampas dari kami?”
    Tiba-tiba Suriani bersuara garang. Terkejut Jamilah. Malah Ahmad juga nampak terpinga-pinga. Suasana menjadi begitu senyap. Senyap yang menakutkan Jamilah.
    Tiba-tiba juga, dua orang pembantu Suriani, Sofiah dan Mariam meluru masuk ke dalam bilik “CEO” syarikat Teknologi Sekuriti Jerman-Malaysia-Emirates (TSJME). Pejabat yang terletak di tengah-tengah Bandar Industri Abu Dhabi. Bilik Ahmad bin Abdullah yang kian sendat dengan lima manusia.
    Suriani segera melingsing lengan jubah hitamnya. Di ikuti Sofiah dan Mariam yang berpurdah, seakan pasukan ninja. Mengelilingi Jamilah yang terpinga-pinga.

    (2) - Karate
    Malam musim sejuk di Abu Dhabi memang sejuk sekali. Suhu tidak labih dari 15° celcius. Dari bangunan hotel tingkat 15 di Jalan Corniche itu, Jamilah dapat melihat jauh ke Teluk Arabia. Memang cantik Abu Dhabi berlatarbelakangkan bulan dan bintang. Seakan sekeping gambar poskad. Romantis sekali.
    Lagipun hari itu jatuhnya Hari Kekasih. 14 Februari. Setiap tahun Jamilah menyambut Hari kekasih, walau tidak dengan orang yang sama. Dan sudah menjadi tragis yang setiap kali selepas hari Kekasih, sama ada dia meninggalkan kekasih atau kekasih yang meninggalkannya. Tidak cinta dan janji sehidup semati sampai ke penghujung. Selalunya sekadar di pinggiran. Tahun ini, hari Kekasih menjadi hari Kekasih yang paling memilukan, tiada kad ucapan, tiada SMS, tiada e-kad, tiada emel dan tiada kekasih baru.
    Jamilah menghembus asap rokok jauh-jauh. Sejauh mungkin. Terdengar dari radio FM Emirates 2 lagu-lagu permintaan dari pendengar yang tidak henti. Terutama dari ekspatriat Filipina dan India. Lagu-lagu cinta berkemundang. Mengusik jiwa seorang andartu yang inginkan kasih sayang. Yang dahagakan pelukan seorang suami.
    Jam hampir menyusuri tengah malam. Malam minggu di merata tempat di dunia, tetapi di Abu Dhabi adalah malam biasa. Sabtu dan Ahad bukan hari cuti atau hujung minggu.
    Jamilah berpusing apabila terdengar bunyi seseorang berdehem. Muncul Kak Chah, isteri CTO (Ketua Pegawai Teknologi), Kasim yang juga adik Ahmad.
    “Sudah lama merokok?” Kak Chah cuba bermesra dengan soalan yang mungkin sensitif bagi ramai wanita perokok. Tetapi tidak bagi Jamilah. Dia tidak sensitif dipanggail andartu kerana dia wanita baru yang boleh berdikari.
    Jamilah tersenyum. “Sejak dari universiti, sebaik kekasih kena tangkap basah dengan kawan baik sendiri!”
    Terdiam kembali. Memang sukar bagi Jamilah untuk menerangkan kenikmatan dan keenakan merokok bagi mereka yang tidak pernah merokok. Seperti mana Kak Chah akan sukar becerita kenikmatan, mahupun keperitan hidup berumahtangga pada Jamilah yang sudah menghampiri 40 tahun.
    “Kak Chah tahu ke hari ini Hari Kekasih?”
    Kak Chah mengangguk. Melebarkan senyum. Seakan teringat sesuatu yang indah. Kak Chah yang nama sebenarnya Nuraishah masih muda. Baru juga berkahwin sebaik leluar universiti dan menganggur dengan ijazah IT. Bertemu Kasim melalui bilik chat siber.
    “Sudah lama Kak Chah berkahwin? Isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat Kasim?” Jamilah bertanya. Bercampur jenaka. Bercampur sindiran. Mahu tahu juga selepas tahu apa yang berlaku di TSJME.
    Seminggu di Abu Dhabi, hanya Kak Chah yang banyak melayani Jamilah. Staf lain TSJME tidak begitu peduli pada Jamilah yang dalam seminggu dari perekabentuk grafik laman web menjadi Pengurus Besar Promosi. Malah ramai yang terang-terang menunjukkan konfrontasi. Terutama Suriani, Sofiah dan Mariam.
    Kak Chah tidak bercerita tentang hal-hal peribadi sebelum insiden di pejabat Ahmad. Sebagai pengurus Sumber manusia dalam TSJME, dia mengambil berat tentang Jamilah yang pertama kali menjejak kaki ke negara Teluk.
    Kak Chah ketawa terkekeh-kekeh. Sewaktu berkenalan, Kasim memperkenalkan dirinya sebagai CTO sebuah syarikat IT di Cyberjaya. Hanya selepas kahwin dia tahu yang Kasim bukan siswazah mana-mana IPTS atau IPTA. Bukan juga mahasiswa yang kena tendang tahun pertama atau kedua seperti Bill Gates. Sekadar lulusan SPM yang menjadi penggodam. Mahu jadi penggodam nombor satu dunia.
    “Tidak pasti sekarang....mungkin nombor lima!” Mereka ketawa. Hanya mereka berdua yang mengerti jenaka itu. Mereka tinggal sehelai sepinggang. Penerbangan ke Kuala Lumpur awal pagi.
    “Masih sakit ke kena pukul dengan isteri-isteri Ahmad?” Tanya Kak Chah bila ketawa sudah sedikit reda. Nampak sedikit biru di dahi dan pipi Jamilah. Hadiah Hari Kekasih di Abu Dhabi.
    Sambil mengusap-ngusap dahi, Jamilah ketawa lagi. Masih terasa sakit dibalun tiga wanita secara mengejut. Paling kuat penangan Suriani yang memberi pukulan tinju ala Mike Tyson tepat ke mukanya. Terjatuh dan terus K.O. sebaik Sofiah dan Mariam menghenyak.
    “Tidak sangka ketiga-tiga mereka, Suriani, Sofiah dan Mariam semuanya isteri Ahmad.....memang cukup kelakar, luar biasa dalam zaman moden ini!” Jamilah mengesat mata, begitu melucukan sehingga keluar air mata. Ketawa yang bercampur kesedihan. Sedih kerana teringat yang Hari kekasih dan dia jadi punch bag.
    “Dalam TSJME , Ahmad tu CEO, Suriani COO, Sofiah C-O-W dan Mariam pula C-O-O-K!” Kak Chah terkekeh-kekeh lagi. Mengutuk bakal bekas bisan-bisan yang semuanya diperbodohkan. Sudah dipukau oleh Ahmad. Termasuk dia yang kini sudah tahu semua rahsia Ahmad dan Kasim. Sudah juga bersedia menjadi janda muda.
    “Kes cemburu paling sensasi, ketiga-tiga isteri fikir yang kamu buat konspirasi untuk jadi isteri Ahmad yang baru, selepas itu Ahmad akan ceraikan ketiga-tiga mereka, maka hilanglah segala yang bernama perjuangan suci dan keramat menentang zionis, Bill Gates dan Amerika!”
    Hari Kekasih di Abu Dhabi tidak mungkin semeriah ini sampai bila-bila
    “Pandai Ahmad mereka-reka konspirasi dalam kelambu, sehingga rahsia dan agenda jahat yang menipu dan memukau tidak diketahui ketiga-tiga isteri, jadilah mereka ninja!”
    Hilai ketawa memenuhi Jalan Corniche ke Teluk Arabia. Lebih lucu mengingatkan bagaimana Kak Chah menjadi heroin, meng’karate’ ketiga-tiga ninja dan Ahmad sekaligus dengan gaya seorang juara SUKMA. Berbekal tali pinggang biru sewaktu zaman mahasiswa.

    (3) Keropok
    Melalui catatan blognya, Jamilah meluahkan segala yang terjadi. Terperinci dari kedatangannya ke Abu Dhabi sebagai ekspatriat sehingga dia dan Kak Chah terbang meninggalkan Abu Dhabi sebagai pelarian. Ketakutan kerana teringat Ahmad dan Kasim asyik menggugut. Kononnya mereka kenal ramai Sheikh di Abu Dhabi. Malah penaja syarikat TSJME adalah seorang anggota tentera berpangkat tinggi. Bermakna tidak makan saman kalau Jamilah dan Kak Chah membuat aduan polis. Mana-mana staf TSJME boleh dimasukkan ke dalam penjara sekiranya cuba melarikan diri.
    “Ahmad dan Kasim bukan nama sebenar mereka!”
    Hasanol menghirup ais kopi Starbuck sehingga licin. Menghisap rokok keretek sambil membaca blog Jamilah yang diakses secara wi-fi. Dia menghubungi Jamilah untuk bertemu, setelah memperkenalkan diri sebagai seorang ajen perisik melalui telefon. Mulanya Jamilah tidak percaya, tetapi apabila Hasanol memberi maklumat peribadi Jamilah secara tepat, barulah Jamilah berani untuk bersemuka. Jumpa di sebuah balai polis sebelum ke Mid Valley mega mall.
    “Nama sebenar Ahmad ialah Haslam bin Yusuf, seorang penipu licik yang pernah membawa sebuah ajaran sesat sebagai tok guru, beristeri 10 orang secara batin dan dikatakan merogol ramai pengikut-pengikutnya sebagai menebus dosa mereka!”
    Tersembur cuppachino Jamilah. Menjalar ingatannya pada lelaki kurus yang sekali pandang macam Wahid Satay, kalau tidak macam Wahid Senario. 10 isteri? Tok Guru?
    “Manakala nama sebenar Kasim ialah Hakim, mereka bukan adik beradik. Hakim ini juga sering menyamar sebagai SB atau CID untuk memeras ugut! Kami telah cuba mengesan Haslam sejak melarikan diri dari waran tangkap untuk dihadapkan ke mahkamah. Beliau tidak pulang ke Malaysia dan kami agak berputus asa. Sehingga kami membaca blog ‘Kembara’ Jamilah, rupa-rupanya sedang meluaskan aktiviti di Abu Dhabi.”
    Hasanol menukar laman web, pergi ke laman utusan online. Terus klik carian. Menaip sesuatu. Jamilah memandang Hasanol yang bercermin mata hitam dan berkumis nipis. Hatinya berdetik. Tidak sangka dia berada di tengah-tengah satu kumpulan mafia.
    Kemudian Hasanol menunjuk ke skrin. Jamilah ternganga, tidak percaya. Wajah Ahmad alias Haslam muncul dengan berita besar.
    “Tok Guru Ajaran Sesat KEROPOK LINUX sedang dicari!”
    - Tamat -

0 comments:

Leave a Reply

Featured Video

Photos